Berseri-seri Mukanya

Assalamualaikum w.b.t

….Dalam suasana yang gawat itu, orang Quraisy cuba membunuh Nabi Muhammad tetapi dapat ditumpaskan oleh Abu Bakar as-Sidiq dan Ali bin Abi Talib.

Tiba-tiba muncul Umair bin Human al-Ansari di hadapan Nabi Muhammad lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, benarkah sesiapa yang mati syahid di medan perang, balasannya syurga?”

“Benar, wahai Umair,” jawab Nabi Muhammad.

“Adakah syurga itu seluas langit dan bumi?” tanya Umair lagi.

“Benar wahai Umair,” jawab Nabi Muhammad lagi.

Wahai Rasulullah, saya mahu masuk syurga!” teriak Umair penuh semangat.

“Kamu adalah salah seorang yang akan masuk syurga,” kata Nabi Muhammad.

Wajah Umair berseri-seri. Tiba-tiba dia berasa lapar lalu mengeluarkan beberapa biji kurma dari saku lalu dimakannya. Belum pun habis buah kurma itu dimakannya, tiba-tiba dia mencampakkan baki buah kurma di tangannya.

” Sekiranya saya tunggu sampai habih buah kurma itu dimakan, bererti lama lagi saya mendapat syahid,” teriaknya.

Sedutan dari novel Abu Ubaidah al-Jarrah (tulisan Abdul Latip Talib)

Saya sangat terkesan dengan dialog ini semasa membaca novel Abu Ubaidah al-Jarrah. Sahabat Nabi begitu mendambakan syurga sehingga apa sahaja yang dilakukan mereka adalah untuk mencari keredhaan Allah. Lihat sahaja Umair ini, wajahnya menjadi berseri-seri apabila mendengar gambaran syurga dari Rasulullah dan beliau tidak sabar-sabar untuk ke syurga.

Namun bagaimana pula dengan kita? Terasakah kebahagiaan, keseronokan apabila mendengar perkataan syurga? Bercita-cita kah kita untuk ke syurga Allah? Kita sangat gembira sekiranya mendapat rumah baru yang besar dan cantik seperti istana sehingga tidak sabar-sabar untuk berpindah. Muka kita berseri-seri apabila diberi hadiah percutian ke tempat yang indah dan menenangkan. Namun adakah keinginan dan kegembiraan untuk ke syurga melebihi kegembiraan mendapat rumah baru dan hadiah percutian itu?

Lebih buruk lagi apabila kita tidak terasa seram dan takut apabila mendengar perkataan neraka sehingga tidak teragak-agak melakukan perkara maksiat dan mungkar. Tahukah kita samada kita mampu menahan azab pedih di neraka? Nauzubillah hi min zalik (Kami mohon perlindungan Allah daripada perkara itu).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!