Guna TV untuk Bang

Assalamualaikum w.b.t

Berita ini dikeluarkan pada 05/01/2011 namun, saya hanya mengetahuinya semalam. Berdasarkan apa yang berlaku, ada sesuatu yang sangat penting untuk dilihat kembali.
CHUKAI – Gara-gara bilal yang bersara tidak diganti sejak hampir tiga tahun lalu, Jawatankuasa Masjid Jamek Chukai terpaksa menggunakan televisyen untuk memperdengarkan azan setiap kali masuk waktu solat Fardu.

Pengerusi Masjid Jamek Chukai, Abdul Hamid Johari berkata, sejak seorang bilal masjid berkenaan bersara pada Jun 2008, seorang lagi bilal yang ada terpaksa bekerja 24 jam setiap hari.

Menurutnya, keadaan itu juga memaksa mereka meletakkan mikrofon pada televisyen ketika masuk waktu solat Fardu sekiranya bilal terbabit sakit atau berada di luar kawasan.

“Bagi mengatasi masalah ini jawatankuasa masjid terpaksa melantik dua bilal yang kita bayar gaji sendiri dengan wang hasil kutipan derma masjid.

“Keadaan ini agak membebankan dan apa yang kita kesalkan masalah ini berlarutan sehingga ke hari ini sedangkan pada 12 Januari 2009, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sendiri telah mengeluarkan arahan agar jawatan bilal yang kosong itu dipenuhkan segera selepas kita membuat permohonan demi permohonan,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan.

Menurutnya, masalah itu berterusan sehinggalah pada 29 Oktober 2009 apabila Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menyatakan tidak dapat menyediakan calon dan meminta jawatankuasa masjid menyediakan calon bilal.

“Akur dengan permintaan itu kita memilih dan menghantar calon pada 20 Disember tahun sama dan pada September tahun lalu JHEAT hantar maklumat calon ke Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bagi tujuan lantikan secara kontrak.

“Namun, sehingga sekarang perkara ini rupanya masih tiada penghujung kerana walaupun masuk tahun baru kita masih belum menerima bilal baru,” katanya.

Abdul Hamid berkata, lebih menyedihkan dalam tempoh mereka memohon bilal baru, dua masjid lain yang baru sahaja membuat permohonan dibekalkan dengan imam dan bilal sedangkan masalah mereka seolah-olah tidak diberi perhatian sewajarnya.

“Kami mengharapkan masalah ini tidak hanya dipandang sepi dan diharap proses kemasukan bilal baru dapat dipercepatkan kerana kami sudah terlalu lama menunggu,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Pandangan  peribadi penulis:

Setiap masjid dan surau selalunya mempunyai ahli jawatan kuasa sendiri dan terdapat bilal serta imam yang tetap di setiap masjid dan surau. Jadi sememangnya perlu untuk masjid jamek ini memohon bilal baru dari JHEAT.

Namun apabila mereka sanggup menggunakan TV bagi menampung ketiadaan bilal, saya rasakan ianya terlalu teruk. Tiada langsung kah  ahli kariah yang sanggup bang? Azan bukannya wajib dilaungkan secara merdu. Laungan azan juga sama dari dulu sampai sekarang dan setiap waktu kecuali ada kelainan sedikit pada waktu subuh. Azan juga tidak mengambil masa yang panjang.

Saya teringat semasa di sekolah dahulu. Masjid SMSAH (Jenan) digunakan untuk solat Jumaat dan laungan azan bagi setiap waktu,  turut di dengar oleh penduduk kampung sekeliling. Namun laungan azan bukan dilakukan oleh cikgu-cikgu atau bilal dari luar, tetapi oleh pelajar-pelajar SMSAH sendiri. Kadang kala kedengaran sangat merdu, kadang kala biasa sahaja. Apa yang penting, kesanggupan pelajar untuk melaungkan azan. Jika pelajar di sekolah boleh melaungkan azan, mengapa ahli kariah masjid di luar tidak ada yang volunteer? Sangat menyedihkan.

Saya lihat, ini adalah akibat apabila sesuatu tugas yang sepatutnya diketahui oleh semua golongan lelaki, diserahkan hanya pada individu tertentu. Tugas azan hanya kepada bilal yang dilantik. Yang boleh memberi ceramah serta tazkirah hanya penceramah bertauliah. Yang mengajak kepada Islam hanya organisasi tertentu. Akibatnya, yang lain-lain mengambil sikap lepas tangan.

Nasib baik azan dalam TV(KL) lebih lambat dari Terengganu. Kalau tidak, mungkin ada yang solat awal dari waktu sepatutnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!