Review Buku: Hulagu Khan

Assalamualaikum w.b.t

Tajuk: Hulagu Khan – Khabar Hitam dari Timur
Penulis : Abdul Latip Talib
Halaman : 241 Penerbit PTS Litera Utama
Harga : RM24

Boleh dikatakan 90% dari novel ni memberi tekanan jiwa kepada saya, apabila membayangkan kejatuhan kerajaan Islam setelah berdiri megah beratus tahun. Hati mana yang tidak sakit apabila orang dalam istana membantu musuh untuk tumbangkan kerajaan.

Ok, sebelum saya teruskan, saya perlu ceritakan serba sedikit mengenai Hulagu Khan pada yang belum mengenalinya.

Kerajaan Islam bermula di Madinah, kemudian kita ada sistem Khalifah ar Rashidin. Kemudian kerajaan Islam diperintah oleh Bani Umayyah dan semasa pemerintahan Bani Abbasiyyah, kerajaan Islam berkembang dengan pesat dan maju. Namun pada akhir pemerintahan Bani Abbasiyyah, ramai yang semakin jauh dari Islam, semangat Islam semakin pudar. Kerajaan mula berpecah dan akhirnya menjadi lemah.

Hulagu Khan adalah cucu penakluk ulung Monggol, Genghis Khan. Namun Genghis Khan tidak berjaya menakluk Baghdad, yang menjadi pusat pemerintahan kerajaan Islam Abasiyyah. Orang Monggol ni memang sangat kuat, tak takut pada musuh dan suka berperang dari kecil sebab mereka ni takde belajar membaca, menulis dan sebagainya. Orang Monggol pada masa itu adalah orang yang buta huruf. Jadi Hulagu Khan ni bercita-cita besar macam datuk dia untuk menakluki Baghdad dan kerajaan Islam.

Setelah datuknya, Gengis Khan menakluki beberapa negeri Islam, lama kelamaan ramai tentera Monggol menerima Islam kerana kita sendiri pon dah tahu yang Islam adalah agama yang benar, Islam tidak zalim kepada kita. Berke Khan, pemerintah Kaukakus yang merupakan keturunan Hulagu Khan juga sudah beragama Islam. Jadi nama2 yang ada Khan tu, keturunan Monggol lah.

Hulagu Khan, apabila diberi peluang untuk menakluki kerajaan Islam, dia memang tak berlembut dah. Angkat pedang, terus lawan. Takde belas kasihan pada perempuan, anak kecil dan orang tua sebab memang sifat orang Monggol macam tu. Keras hatinya. Kota Baghdad yang dikatakan kebal, akhirnya jatuh ke tangan Hulagu Khan. Sesuatu yang menyedihkan saya, Hulagu Khan masuk ke Kota Baghdad disambut dengan bunga, bukan dengan jihad kerana Hulagu Khan berjaya memperdaya sultan melalui orang dalam istana. Konon-konon nak kahwinkan anak dia dengan anak sultan.

Kota Baghdad akhirnya di banjiri dengan mayat dan darah. Habis buku-buku dibakar dan abunya dibuang ke Sungai Daljah sehingga sungai itu menjadi hitam. Orang Monggol ni kan tak reti membaca dan menulis, jadi buku-buku tu takde nilai pada mereka. Boleh bayangkan tak, betapa usaha menterjemahkan dan menulis buku oleh orang Islam selama beratus tahun, berakhir dengan tragis. Sultan yang leka dan mudah diperdaya akhirnya mati dibalut tikar dan dipijak tentera Monggol.

Saya sebenarnya nak tulis pendek saja review buku ni, tapi bila dah start menulis, mula nak cerita macam-macam. Buku ni memang sesuai untuk yang ingin mempelajari sejarah islam melalui bahasa dan dialog yang mudah difahami. Ok saya sambung balik.

Pada chapter-chapter akhir, datang semangat baru dari Sultan Mesir, Sultan Saifuddin Qutuz untuk memerangi tentera Monggol, dibantu oleh Berke Khan dan Rukunuddin (menteri Baghdad). Saya juga tidak sabar-sabar untuk membayangkan semangat jihad mereka menentang musuh Islam. Dari situ, kita lihat bahawa orang Islam yang berserah dan yakin sepenuhnya pada Allah akan mempunyai semangat yang tinggi.

Hulagu Khan terpaksa pulang ke Monggol apabila mendapat khabar kematian abangnya, Mongke Khan. Mongke Khan dipanggil Maharaja Khan dan mendapat gelaran The Great Khan. Namun Mongke Khan tidak sekejam Hulagu Khan.

Tentera Monggol yang diketuai oleh Kitbuqa, meneruskan misi untuk menawan Mesir. Rakyat Mesir turut bersemangat bersama Sultan Saifuddin Qutuz untuk mempertahankan kerajaan Islam yang masih ada dan ramai yang sukarelah membantu tentera Mamluk (Mesir). Harta-harta diinfakkan sebanyak yang mungkin untuk menampung kos ketenteraan.  Pertempuran sengit berlaku di Ain Jalut. Dengan izin Allah, tentera Islam yang sikit bilangannya berjaya mengalahkan tentera Monggol. Apabila panglima mati, tentera Monggol menjadi patah semangat dan ramai yang melarikan diri.

Kemenangan Islam disambut dengan takbir dan tahmid. Semoga kita mengambil semangat juang  tentera Mamluk dalam menegakkan syiar Islam. Amin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!