Barak mahu dilastik

Assalamualaikum w.b.t

Balik dari daurah di Frankfurt, badan saya tak sihat sampailah hari ini. Macam nak demam, jadi saya kekurangan tenaga nak buat kerja-kerja yang banyak ni. Untuk merehatkan diri, saya baring sambil membaca novel Khalid al Walid, karya Abdul Latip Talib. Di tengah-tengah muka, terkeluar cerita mengenai Barak yang saya dengar di daurah dan saya sangat ingat namanya disebabkan “cerita lastik”.

Secara detailnya saya tak kenal siapa Barak, namun semangatnya untuk Islam sangat hebat. Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, muncullah Nabi-nabi palsu yang jelas melanggar syariat Islam. Khalifah Abu Bakar menghantar tentera-tentera Islam ke merata tempat untuk memerangi nabi palsu dan pengikut-pengikut mereka. Namun, sekiranya mereka kembali kepada Islam dan mengakui Abu Bakar sebagai khalifah, mereka tidak akan diapa-apakan.

Barak bersama-sama tentera Khalid al Walid memerangi Musailamah al Kazab, salah seorang nabi palsu dan pertarungan tersebut berlaku dengan dahsyat. Musailamah yang tidak mahu lebih ramai tenteranya mati dibunuh, mengarahkan mereka masuk ke Hadiqat iaitu kawasan taman yang luas kepunyaan Musailamah al Kazab. Pintu tembok dikunci dari dalam menyebabkan tentera Islam kebuntuan idea untuk memasuki kawasan tersebut. Nak kepung berhari2 pon sukar memberikan hasil disebabkan kawasan tersebut sangat subur dan dipenuhi makanan serta air yang cukup untuk 1 tahun. Jadi pengikut Musailamah tidak akan terdesak untuk keluar.

Gambar hiasan

Namun tentera Islam tidak boleh terlalu lama mengepung Hadiqat kerana mereka kekurangan air dan bekalan makanan. Apabila sudah buntu, datanglah Barak (dari Ansar) berjumpa dengan Khalid untuk memberikan idea. Barak mahu memasuki benteng dan membuka dari dalam. Namun Khalid al Walid merasa pelik kerana Barak pasti tidak dapat memanjat temboknya yang tinggi. Jadi, apa saranan Barak?

“Tuan buatlah pelantik dan lontarkan saya ke dalam benteng itu. Kemudian saya akan membuka pintunya dari dalam”.

Dapatkah kita semua berfikir kenapa Barak sanggup lakukan sebegitu walaupon dia tidak pasti akan selamat atau pon tidak. Di dalam Hadiqat itu terdapat musuh yang ramai, seolah-olah buaya-buaya yang sedang menanti makanan!! Inilah contoh hamba yang meletakkan segala kepercayaannya kepada Allah s.w.t dan nyawanya hanya untuk Allah. Subhanallah!!

Namun, ramai yang tidak bersetuju dengan cadangan Barak.

“Saudara pasti mati sebelum jatuh ke tanah,”ujar Yazid.

“Sekiranya tidak mati, kaki saudara pasti patah dan saudara ditangkap lalu dibunuh oleh mereka,” celah Yasir pula.

“Saya sanggup mencubanya dan rela mati demi tugas ini,” kata Barak bersungguh-sungguh.

“Kita cuba cara lain,”. Khalid al Walid masih tidak bersetuju.

Walaupon majoriti tidak bersetuju dengan cadangan Barak, itu bukan persoalan utama. Apabila Barak sudah memberi idea, ini bermakna beliau sanggup melakukannya. Idea yang dilontarkan bukan idea main-main seperti mana yang selalu kita lakukan.

Jadi bagaimanakah tentera Islam membolosi benteng Hadiqat? Strategi dibincang dengan sangat teliti supaya segalanya berjalan dengan lancar.

Apabila menjelang malam, sebahagian tentera Islam membuat bising di bahagian kiri benteng, seolah-olah melakukan serangan. Musailamah dan tenteranya ke sebelah kiri  untuk mempertahankan benteng tersebut. Inilah peluang yang digunakan tentera Islam untuk memasuki benteng. Beberapa tentera Islam membina tangga manusia supaya Barak dan para pembantunya dapat memanjat tembok dan terjun ke dalam Hadiqat dengan menggunakan tali.

Barak dan para pembantunya meluru ke pintu benteng dengan pantas, menewaskan pengawal, seterusnya membuka pintu benteng. Khalid al Walid dan tenteranya yang sudah bersedia di hadapan pintu, terus meluru masuk dan mengepung tentera Musailamah. Mereka tidak dapat melarikan diri ke mana-mana. Musailamah akhirnya dibunuh  Wahsyi yang pernah menjadi budak suruhan Hindun. Pengikut Musailamah menyerah kalah.

Begitulah semangat sahabat-sahabat Rasulullah untuk mempertahankan Islam dan menjaga kesucian Rasulullah. Subhanallah. Namun kita bagaimana?

2 thoughts on “Barak mahu dilastik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!